Friday, May 14, 2010

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua guru terutama guru-guru yang mengajar di SK Abdullah.

Dedikasi buat semua guru:

SAJAK GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dialah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Read more...

Penafian:

Pihak Sekolah Kebangsaan Abdullah Tidak Bertanggungjawab Terhadap Sebarang Kehilangan Atau Kerugian Disebabkan Oleh Penggunaan Maklumat Yang Diperolehi Dari Laman Ini. Terima Kasih.

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP